dari pagi hingga senja, tiap kali dia melintas ruang tamu, matanya akan tertumpu ke arah sebuah kantung usang berwarna-warni yang digantung di sebelah lukisan pemandangan sawah. kantung itulah kemuncak hidupnya hari-hari. kantung itulah yang membuat dia mandi setiap petang sebelum disuruh, menghabiskan sayur di pinggan tanpa bersuara dan menelan setiap biji vitamin ikan kod yang amat dibencinya.
dari dalam kantung itulah ibunya tiap malam selepas selesai mencuci pinggan, selepas selesai melipat kain baju yang bertimbun, selepas selesai memberi kucing-kucing yang kelaparan di luar rumah, dari dalam kantung itulah ibunya mengeluarkan sehelai kertas yang di atasnya tertulis sebuah cerita untuk dibaca pada dia hari itu.
pernah sekali dia menjenguk ke dalam kantung itu. dan mengeluarkan kertas itu dengan tangan menggeletar dan peluh menitis. tapi yang dia lihat hanyalah kertas kosong. tanpa lakaran, lukisan, mahupun apa-apa petanda. yang malam itu akan muncul sebuah cerita yang akan membuat dia melayang dalam mimpi-mimpi baru. dia tak kecewa. malah mungkin dia lebih kagum kerana fikir dia, cerita itu seperti spora-spora cendawan yang hanya akan muncul selepas waktu-waktu tertentu. atau mungkin cerita itu ditulis dalam bahasa halimunan orang dewasa.
tiap kali ibunya mengeluarkan kertas dari kantung itu, akan terbitlah satu cerita. dan malam ini, ceritanya berjudul, "Bibir Berbentuk Hati".
khabarnya, bibir sang puteri berbentuk hati telah dicuri. bibir yang bikin hujan renyai, nyaman di waktu petang, bibir yang mengubat hati rawan dan matahari mengenyitkan mata sudah hilang. kejadian dilaporkan berlaku jam 2.30 pagi, waktu sang puteri baru saja pulang dari majlis bersuka-suka dan sedang bersiap untuk beradu. sang puteri hanya sedar akan kehilangannya itu waktu beliau memandang cermin, dan menyedari tiada sinar intan yang merenung kembali padanya. yang ada hanyalah kesuraman istana dan bunyi cengkerik. lolongan anjing yang bising serta tangis yang syahdu. negara jadi kaget, raja jadi bingung. rakyat meratap tangis. dan sang puteri menutup pintu kamarnya dan menguncinya sekemas-kemas mungkin hingga tiada cahaya dapat menyelit. tiada bunyi dapat menyusul. tiada bau boleh melolos. di tiap simpang, ada hati yang dipatahkan. di lorong-lorong, kucing-kucing kelaparan. meski matahari dan bulan tak pernah mungkir akan kitaran, tapi tiap kemunculan mereka ibarat keluhan yang panjang dan bersahut-sahutan. dari malam ke siang, dari siang ke malam. seribu tahun selepas peristiwa itu, di sebuah kampung di tengah belantara yang perlu kita berakit untuk ke sana, seorang kanak-kanak bangun dan mendapati bibirnya yang semalam ordinary, kini sudah berubah berbentuk hati.
*maaf kalau bahasa aku a bit lintang pukang. aku terlalu bosan and stress so, this is apa yang keluar dari hati and apa yang aku tengah fikirkan sekarang. mungkin sesetengah reader kurang mengerti apa maksud cerpen ini, tapi ini amat bermakna kalau kita dapat faham betul betul :)